Barat mengisytiharkan bahawa Copernicus sebagai saintis pertama yang mengemukakan teori heliosentrik yakni teori matahari sebagai pusat edaran planet dalam sistem suria dalam kurun ke-16. Sejarah Barat melanjutkan bahawa Galileo yang menyokong teori Copernicus merupakan ahli astronomi agung dengan penemuan teori tersebut. Namun hakikatnya, al-Biruni, Ibn Syatir dan al-Zarqali telah menyatakan hakikat ini apabila mereka melakukan cerapan yang bercanggah dengan teori geosentrik warisan Ptolemy. Ibn Syatir misalnya sekitar tahun 1360 Masihi, menyatakan bahawa teori yang menyatakan bumi sebagai pusat alam tidak benar sama sekali. Menurut Ibn Syatir, ketika jirimlangit bergerak dari timur ke barat menurut pencerap, matahari pula berubah-ubah ufuk terbit dan terbenamnya sepanjang tahun. Planet pula ada yang muncul dan tenggelam maka ini menunjukkan bumi dan planet beredar mengelilingi matahari, dan bulan pula mengelilingi matahari. Pandangan Copernicus sangat selari dengan pandangan Ibn Syatir. Penulis Barat menafikan hubungan Copernicus dengan Ibn Syatir, walaupun dalam perpustakaan bandar kelahiran Copernicus terdapat manuskrip astronomi dalam bahasa Arab yang tersimpan di situ. Banyak pandangan Coperninus yang menyerupai pandangan Ibn Syatir menerusi manuskrip tersebut
Pada tahun 1607, Kepler mengulangi pandangan Abu al-Wafa al-Buzajani tokoh astronomi Muslim bahawa pergerakan planet, termasuk bumi,mengelilingi matahari dalam surihan berbentuk elips. Newton mendapati daya graviti memegang planet untuk kekal dalam orbitnya. Matahari yang menjadi pusat pergerakan planet dianggarkan mempunyai garis pusat sepanjang 1,392,000 km, kira-kira 109 kali lebih panjang daripada garis pusat bumi. Haba di pusat matahari mencapai suhu 15 juta Kalvin dan pembakaran melalui fusi nuklear menggunakan 600 juta ton metrik hidrogen sesaat.
Falak tamadun Islam bukan sahaja membina astronomi Eropah bahkan Alam Melayu turut menerima pengaruh falak tamadun induknya, khususnya apabila Islam bertapak mantap di rantau ini. Manuskrip mengenai ilmu falak boleh ditemui di merata tempat negara kita. Perpustakaan Negara Malaysia, Pusat Islam, perpustakaan universiti tempatan, sekolah agama, koleksi pertubuhan dan koleksi perseorangan adalah tempat-tempat yang boleh ditemui manuskrip berkenaan yang ditulis dalam bahasa Melayu atau Arab.
Perpustakaan Akademi Islam Universiti Malaya, cawangan Kelantan misalnya, mempunyai satu koleksi warisan ilmu berkenaan yang masih belum diketahui umum. Di antara manuskrip yang dimaksudkan termasuklah sebuah kitab mengenai astrolab karya Mahmud Zuhdi bin Abdul Rahman yang ditulis pada tahun 1343H, sebuah kitab mengenai jadual falak karya Muhammad Marzuqi bin Syed Husain yang ditulis pada tahun 1334H dan jadual-jadualnya ditulis dalam sistem munajjimin atau sistem jummal, Kitabal-Wasilah al-Mar’iyyah li ma’rifat al-auqat al-Syar’iyyah yang mengandungi 24 bab mengenai pengiraan waktu yang berhubung dengan syari’ah karya Khalifah bin Hamad yang ditulis pada tahun 1326H, sebuah kitab falak mengenai jirim-jirim langit (al-ajram al-samawiyyah) yang ditulis pada tahun 1334H, (tidak dinyatakan pengarangnya,) yang merupakan salinan daripada sebuah kitab lain yang juga tidak dinyatakan namanya. Kitab Syarh al-Dawa’ir karya Syeikh Sulaiman al-Zuhdi yang disalin balik oleh penulis Nusantara yang tidak disebut namanya dan sebuah kitab falak bertajuk Kitab al-Khusuf dan Kitab al-Kusuf karya Muhammad Mansur bin Abdul Hamid al-Batawi (tidak dinyatakan tahun penulisannya) mengenai gerhana bulan dan matahari.
Selain daripada manuskrip, buku-buku bercetak yang dihasilkan oleh ahli falak Nusantara juga banyaj ditemui. Antara karya penting yang dimaksudkan Riad al-wardiyyah, Nukhbah al-Bahiyyah dan Khulasah al-Jawahir al-Naqiyyah karya Syeikh Ahmad al-Khatib Pati Kiraan karya Syeikh Tahir Jalaluddin, Khulasah al-Wafiah fi al-Falak bi jadwal al-Lugharatimiyyahkarya Zubair ’Umar al-Jailani, Minhaj al-Qawim pada mengetahui Hisab dan Taqwim karya Syeikh Abdul Rahman al-Fatani, Hisab Falak karya A. Katsir,Kitab Falak karya Syeikh Ahmad al-Fatani, Almanak Jamiliyyah Syeikh Jamil Jambek, al-Majesti Ajeungan H. Nawawi, dan lain-lain.
Para ilmuwan Melayu juga sangat berminat untuk mengkaji ilmu kosmologi, yang bersifat lebih umum daripada ilmu falak. Kosmologi membincangkan tentang kejadian alam semesta yang dihubungkan dengan falsafah, kepercayaan, budaya dan sistem nilai sesuatu masyarakat. Dalam bidang ini, ulama Nusantara tidak ketinggalan membincangkan kejadian langit dan bumi serta membincangkan teori kosmologi Islam. Syeikh Nur al-Din al-Raniri, misalnya pernah menulis tentang kejadian alam menerusi karyanya yang bertajuk Kitab bad’ Khalq al-Samawat wa’l-Ard (dicetak di pinggir kitab Taj al-Muluk) dan Jawahir al-`Ulum fi Kasyf al-Ma’lum (masih berbentuk manuskrip). Syeikh Muhammad bin Ismail (Nik Mat Kecik) al-Fatani membincangkan mengenai kosmologi Islam termasuk kejadian cakerawala menerusi karyanya yang bertajuk al-Durr al-Masnun wa’l-Jauhar al-Maknun(dicetak pada tahun 1309H di al-’Amirah al-Islamiyyah). Syeikh Ahmad bin ’Abdul Latif menulis mengenai alam langit dalam Ma’rij al-Aflak (berbahasa Arab). Persoalan langit dan cakerawala disentuh juga oleh al-Khatib dalam bukunya yang bertajuk Dau al-Siraj yang membincangkan tentang peristiwa Mi’raj Nabi s.a.w.
Lintasan sejarah ini memberikan gambaran bahawa umat Islam terdahulu termasuk ilmuwan Islam Alam Melayu pernah menempa sejarah dalam bidang falak serta ilmu yang berkaitan denganya. Akan tetapi rentetan sejarah ini hanya tinggal sebagai kenangan indah dalam lipatan sejarah umat Islam.
No comments:
Post a Comment